Sophie tahu komitmen besar

SEJAK di bangku sekolah dia aktif di pentas teater, namun kecenderungan itu terhenti apabila menumpukan perhatian terhadap akademik. Bahkan tidak pernah terlintas di fikiran bidang lakonan akan menjadi karier.

Ketika bertugas di awan biru, Sophie Hana atau nama sebenarnya, Siti Rohana Harun, 30, sering diundang menjayakan komersial malah tahun lalu dia dilamar sahabatnya, Julia Ziegler, untuk menjayakan filem Crayon. Niatnya hanya mahu membantu kawan namun tanpa disangka tawaran itu membuka pintu hatinya untuk kembali serius berlakon.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, undangan membintangi drama Bait Cinta, Stanza Cinta dan You Saka menyerlahkan bakat jelitawan ini. Dan, rezeki berpihak kepada anak jati Alor Setar, Kedah, ini apabila diberi kepercayaan memikul peranan utama dalam drama rantaian Kali Kedua arahan Aziz M Osman.

Hanya dalam tempoh sesingkat empat bulan, dia berjaya memancing perhatian ramai penonton dan menyemai keyakinan di hati beberapa pengarah. Tidak dinafikan, wataknya sebagai Tok Alai dan Puteri Jarum dalam You Saka memberi impak besar sehingga ramai mula ingat wajahnya.

“Alhamdulillah, banyak tawaran datang biarpun saya masih baru dalam industri. Ogos lalu saya mengambil keputusan nekad menamatkan khidmat sebagai pramugari kerana mahu tumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya ini. Bidang lakonan menuntut komitmen yang tinggi dari segi masa, jadi rasa tidak adil jika saya asyik memohon cuti. Saya tidak mahu menyusahkan pihak pengurusan biarpun mereka berat hati mahu melepaskan saya.

“Ada juga rakan-rakan menasihat­kan supaya saya fikir semula keputusan ini kerana bekerja sebagai pelakon tiada jaminan tetapi saya yakin keputusan ini adalah yang terbaik. Saya percaya dengan rezeki dan syukur setakat ini kemunculan saya dalam bidang ini diterima baik.

“Ke mana-mana saya pergi, orang panggil saya Tok Alai. Mereka ingat watak saya dalam You Saka dan ia satu perkemba­ngan positif bagi pendatang baru seperti saya.

“Selepas Kali Kedua, saya terbabit dengan sitkom Moh Le Ke Cafe Kita arahan Othman Hafsham untuk RTM dan drama rantaian Musim Kirana sentuhan sutradara Wan Kromok. Insya-Allah ada lagi beberapa tawaran menyusul cuma menunggu masa untuk memulakan penggambaran termasuklah sebuah sitkom untuk TV3,” katanya sopan sambil tersenyum manis.

Tambah gadis yang tidak jemu dipandang ini, tidak sukar untuk­nya membawa diri dalam dunia yang baru diceburinya ini kerana tidak jauh berbeza dengan kerjaya pramugari.

Segala ilmu yang dipelajari ketika bertugas bersama Penerba­ngan Malaysia (MAS), termasuklah penampilan, pembawaan diri serta skil komunikasi memudahkannya menyesuaikan diri dengan khalayak ramai.

“Tujuh tahun berkhidmat de­ngan MAS, saya banyak mendapat pendedahan apabila sering menjadi model syarikat penerbangan itu. Tanggungjawab itu menuntut saya terbabit dengan banyak program korporat dan aktiviti anjuran MAS termasuklah ke sekolah untuk berkongsi pengalaman dengan pelajar mengenai kerjaya kru kapal.

“Sebenarnya kerjaya di awan biru dan artis tidak jauh berbeza, sering jadi perhatian dan bertemu ramai orang. Jadi kelebihan apabila berkhidmat sebagai pramugari, kita diajar bersolek, sentiasa menjaga penampilan, ketrampilan serta sahsiah diri.

“Itu semua nilai tambah yang berguna malah kita tidak cang­gung berkomunikasi dengan orang sekeliling,” katanya.

Ditanya apakah perancangannya, ujar si gadis berkulit putih mulus ini, dia mahu menjayakan lebih banyak drama untuk menambah keyakinan dalam diri dan berharap ada peluang beraksi di layar perak dan muncul sebagai pengacara.

Terbaru, Sophie mampu terse­nyum riang apabila impian untuk melebarkan sayap sebagai pengacara dapat direalisasikan. Anak sulung daripada dua beradik ini terpilih mengacara Kembara 1 Malaysia, sebuah program konvoi motosikal berkuasa besar yang disertai ramai kenamaan dan artis tersohor tanah air.

“Memang dari dulu lagi saya minat mengacara. Pernah juga berangan-angan jadi hos tetapi tak sangka pula apa yang saya idamkan dimakbulkan Ilahi. Pada mulanya saya sekadar mencuba nasib dengan menghadiri uji bakat. Walaupun tidak ada pengalaman, saya cuba beranikan diri.

“Mungkin sudah tertulis itu rezeki saya, produksi Kembara 1 Malaysia memilih saya. Syukur, ia akan menjadi pembuka jalan kepada saya untuk lebih serius mengacara selepas ini.

“Ia juga akan menjadi medan saya me­ngumpul ilmu dan pengalaman. Tidak dinafikan pengalaman pertama memang mendebarkan tetapi saya cuba lakukan yang terbaik sebagai tanda terima kasih kepada produksi kerana percayakan saya.

“Saya juga disenaraikan sebagai empat finalis hos program realiti fesyen berjudul Wah Kreatifnya yang membabitkan artis, selebriti dan pereka fesyen terkenal yang akan bersiaran menerusi RTM. Mudah-mudahan ada ruang untuk saya kerana program ini sangat menarik. Kebetulan pula saya memang meminati fesyen, jadi banyak perkara yang boleh saya belajar secara langsung atau tidak langsung jika terpilih,” katanya.

Lumrah apabila memiliki raut wajah jelita dan tubuh menarik, pasti jadi kegilaan ramai lelaki. Berada pula dalam bidang yang sering menjadi bahan bualan masyarakat, pasti tidak dapat lari dari kata-kata kurang menyenang­kan.

Seakan stigma, pejuang seni wanita akan dikaitkan dengan elemen negatif seperti penggoda, pisau cukur, orang ketiga dan perampas. Lebih malang apabila golongan yang biasanya dianugerahkan dengan kecantikan ini dicap mengejar golongan VVIP agar dapat menikmati hidup serba mewah.

Tafsiran beraura negatif itu langsung tidak terkesan di hati Sophie kerana nawaitunya adalah mencanai bakat dan mencari rezeki. Tang­gapan itu sudah biasa ditelannya ketika bertugas di awan biru.

“Macam saya cakap tadi, kerjaya artis dan kru kapal tak banyak beza. Kita bergaul dengan pelbagai peringkat masyarakat termasuklah kenamaan. Pokok pangkal tepuk dada tanya selera. Apa niat kita.

“Jadi pelakon bukan batu loncatan saya untuk mendekati golongan kenamaan. Justeru saya tidak mahu ambil pusing apa yang orang fikir. Lagipun semua orang ada hak untuk meluahkan apa yang mereka fikir atau anggap.

“Saya tidak mampu menutup mulut mereka daripada terus bercakap. Apa yang penting saya dan keluarga tahu apa yang nawaitu sebenar saya.

“Pembabitan saya dalam bidang ini bukan suka-suka. Ketika kecil bapa dedahkan saya dengan pementasan teater dan sejak itu saya jatuh cinta dengan bidang lakonan. Kalau bukan kerana cinta yang menebal, tidak mungkin saya berhenti bertugas di awan biru,” katanya.

Sambungnya, sebagai anak yang menitikberatkan maruah dan perasaan kedua-dua orang tua, dia sentiasa menjaga tingkah laku. Tidak sesekali hati dua insan paling disayangi itu tergamak dilukai.

“Dia seboleh mungkin cuba mengelak daripada terjebak dengan kontroversi dan melakukan perkara-perkara yang boleh memalukan keluarga.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s