Tiada dendam – FIDA

GOSIP membabitkan gadis ini tidak memerlukan pengenalan. Sana sini kisahnya kecoh diperkatakan, tidak kiralah sama ada di media cetak, elektronik, mahupun di alam maya.

Tatkala berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini, kalau boleh pelakon dan pengacara, Rafidah Ibrahim, enggan dikaitkan kembali dengan Mamat Sepah kerana episod itu sudah disimpan kemas dalam diari hidupnya.

Katanya, biarlah pihak di sebelah sana mengeluarkan seberapa banyak kenyataan sekali pun, namun untuk dia membuat serangan balas adalah tidak mungkin sama sekali.

Ditemani pengurusnya, Shah Zemeer, wanita muda yang lebih dikenali sebagai Fida ini kelihatan semakin kuat. Sebelum ini, apabila ditemubual pihak media mengenai isu tidak bertudung dan percutian bersama Mamat ke Pulau Batam secara berdua-duaan, dia pasti tenggelam dengan emosi.

Bagaimanapun kali ini, dia kelihatan semakin tabah menempuh dugaan maha hebat membabitkan dirinya itu. Imej baik yang dijaga selama empat tahun tercalar sekelip mata hanya kerana seseorang. Kata Fida, selepas ini dia mahu lebih berhati-hati apabila memilih kawan.

“Saya tidak mahu lagi mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan kes itu kerana saya tidak mahu ia berpanjangan. Cukuplah dengan kenyataan yang pernah saya buat sebelum ini. Bagi saya, tidak berbaloi untuk memanjangkan kes itu. Lebih baik saya fokus kepada apa yang ingin dilakukan selepas ini.
“Alhamdulillah tidak ada yang mencemuh, sebaliknya ramai juga menitipkan kata-kata nasihat apabila berlakunya kes ini. Namun tidak kurang yang cuba mengambil kesempatan serta menokok tambah cerita bagi memburukkan lagi nama saya.

“Walau apa pun dugaan yang mendatang, saya masih perlu berdepan dengan orang ramai. Dalam hal ini, saya tidak boleh menyalahkan sesiapa. Cuma saya agak sedih dan terkilan kerana selama empat tahun dalam industri, saya tidak pernah dikaitkan dengan sebarang kontroversi. Tapi disebabkan perkara ini, dalam sekelip mata imej baik yang saya jaga tercalar,” jelas Fida.

Walau hebat menghadapi cemuhan, keluarga langsung tidak diheret dalam hal ini. Ibunya memang tidak mencampuri urusan kerjayanya, namun dia kurang pasti perasaan adik-beradik yang lain kerana mereka jarang bertemu.

Mohon maaf dedah aurat

LUKA yang menghiris hatinya sudah sembuh, namun parutnya masih lagi berbekas. Ketika yang sama dia menganggap apa yang berlaku itu sebagai pengajaran buat dirinya. Fida yang turut berbakat dalam nyanyian ini juga tidak menganggap persahabatan dengan Mamat sebagai satu kesilapan, cuma akan lebih berhati-hati selepas ini.

“Saya mohon maaf kepada peminat kerana mendedahkan rambut ketika di Batam. Saya sedar perubahan mendadak yang dilakukan menyebabkan peminat tidak dapat menerimanya. Saya perlu berubah. Saya mengaku ia kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan. Saya juga berjanji untuk tidak mengulanginya lagi. Mungkin saya perlu mencari penata gaya yang dapat membentuk imej yang bersesuaian dengan diri saya selepas ini,” ujar Fida yang baru-baru ini menemui peminat menerusi drama Kasih Alia.

Mengenai tindakannya menayangkan rambut seperti yang dapat dilihat dalam foto yang tersebar di internet, Fida mempunyai penjelasannya sendiri.

“Saya masih lagi bertudung. Cuma pada ketika itu saya mendedahkan rambut di dalam kereta. Apabila keluar daripada kereta, saya tetap memasukkan kembali rambut dan tidak membenarkan sesiapa melihat rambut saya.

“Saya akan lebih berhati-hati lagi selepas ini dalam memilih kawan. Mungkin selepas ini tiada lagi lelaki bergelar selebriti menjadi teman saya. Lebih baik saya mencari lelaki biasa bagi mengelakkan sebarang kontroversi seperti ini,” katanya yang bakal mengusahakan perniagaan tudung dan skaf.

Bagaimanapun gadis ini berharap, isu dirinya menayangkan rambut ketika bercuti tidak dikaitkan dengan perniagaan yang bakal dilancarkan itu. Tegas Fida, dia tidak mahu persepsi yang bukan-bukan dilemparkan apabila dia melancarkan perniagaan itu nanti.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s