Kaabah Saksi Cinta Luhur

Pencarian si jejaka ini akhirnya menemui titik noktah tatkala bertemu dara pujaan. Wanita penuh kelembutan bernama Noor Dayana Haji Loqman, 24 menjadi pilihan Mohd Ashraf Muslim, 30 sebagai pasangan sehidup semati.

Tiada siapa mampu menduga percaturan Ilahi. Status adik dan abang sebelum ini bertukar menjadi suami isteri. Dataran Kaabah menjadi saksi cinta luhur dua jiwa ini. Cinta yang berkembang mekar kini menuju bahagia buat pelakon, Ashraf Muslim dan pasangannya Noor Dayana apabila mereka selamat bergelar suami dan isteri.

1 Syawal menjadi detik bersejarah apabila mereka disatukan dalam ikatan pernikahan yang dilakukan sendiri oleh ayah Dayana sambil disaksikan sanak saudara terdekat serta umat Islam yang menunaikan solat di rumah Allah itu.

Selesai majlis pernikahan, pasangan ini kemudiannya melakukan solat sunat serta mengelilingi Kaabah sebelum diraikan dalam satu majlis doa selamat. Pasangan ini seterusnya diraikan dalam majlis resepsi sebelah perempuan pada 17 September lalu yang diadakan di Villa Bestari, Kg Sungai Pusu, Gombak Selangor.

Majlis bertemakan Inggeris moden cukup meriah dengan kehadiran tetamu dan sanak-saudara. Dalam majlis tersebut, Ashraf dan Noor Dayana tampil segak dan anggun dalam persalinan indah rona putih dan ungu rekaan Ezuwan Ismail. Rona bahagia terpancar jelas pada wajah kedua mempelai ini. Majlis persandingan bermula tepat jam 1.30 petang dengan diiringi pasukan ”bagpipes’.

Kehadiran Dayana Isi Ruang Kosong
Dalam majlis tersebut, pengantin lelaki turut menyerahkan sembilan dulang hantaran berupa senaskhah al-Quran, telekung, beg tangan Salvatore Ferragamo, iPhone 4, jam tangan berjenama Esprit, kek dan juga sirih junjung. Manakala pihak perempuan membalas 11 dulang hantaran berupa senaskhah al-Quran, jam tangan berjenama Gucci, set wangian Boss, cermin mata Prada dan juga kasut berjenama Bally.

“Alhamdulillah syukur kerana segalanya sudah selesai dan kini kami bergelar suami isteri yang sah. Kota Makkah menjadi pilihan bapa mentua saya yang mahu kami bernikah di sana. Walaupun pada awalnya kami agak gusar tentang prosedur di sana, namun segala perancangan berjalan lancar. Dengan sekali lafaz, kami sah bergelar suami isteri.

“Kini, saya memikul tanggungjawab yang cukup besar terhadap isteri dan rumah tangga kami. Sudah pasti, tumpuan saya kini adalah bagaimana mengemudi
bahtera perkahwinan kami mengikut jalan yang sentiasa diredai Allah. Ini bukan perkara yang mudah tetapi saya yakin mampu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan baik,” ujar Ashraff Muslim yang mengakui ciri-ciri yang ada pada Dayana menambat hatinya untuk memilihnya sebagai pasangan hidup.

“Walaupun jarak umur antara kami berbeza enam tahun, namun Dayana cukup matang dan paling utama dia memenuhi ciri-ciri yang saya inginkan dalam diri seorang isteri. Dia seorang yang solehah, merendah diri dan penyayang serta cukup mesra dengan keluarga saya.

“Malah, kehadirannya mengisi ruang kosong dalam hidup saya selain banyak membawa perkara positif terutama dalam memberikan teguran terutama dalam hal menjaga solat. Bukan itu sahaja, dia juga seorang yang pandai memasak terutama masakan ala barat. Sebelum berkahwin, dia pernah memasak lasagna untuk saya. Cuma saya belum merasa masakan kampung dari air tangannya. Pun begitu tiada manusia sempurna namun setiap kekurangan boleh diperbaiki,” jelas Ashraf yang menyatakan impiannya untuk mendirikan rumah tangga dalam usia 30 tahun ternyata sudah tercapai kini.

Dulu abang dan adik Sementara itu, Noor Dayana tatkala diterjah persoalan persediaan bergelar isteri selebriti jujur mengakui tidak mengenali Ashraf sebagai seorang pelakon. Ini kerana beberapa tahun sebelum ini mengikuti pengajian perubatan di luar negara iaitu di Manipal University, India.

“Sebelum ini saya tidak tahu abang (Ashraff) adalah seorang pelakon. Bahkan, kami kenal selepas abang datang di tempat Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah sebagai seorang pesakit yang memerlukan bimbingan dan seterusnya menjadi anak murid kepada ayah saya. Kebetulan kami berkongsi minat dan cita rasa yang sama dalam bidang perubatan.

“Pun begitu, sebelum ini hubungan kami sekadar adik dan abang sehinggalah suatu hari abang menyuarakan hasrat untuk mengahwini saya. Dengan restu dan doa dari kedua ahli keluarga, kami akhirnya disatukan.

Walaupun saya masih belajar, namun itu tidak menjadi penghalang untuk saya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri,” ujarnya.

Bagaimana pun menurut Dayana buat masa ini dia dan suami terpaksa tinggal berjauhan memandangkan dirinya perlu menghabiskan pengajian di Melaka sehingga Mac tahun hadapan. Hanya pada hujung minggu dia akan pulang menemui suami tercinta di Kuala Lumpur.

Dia dalam pada itu faham dengan status Ashraff sebagai seorang selebriti yang pasti akan di kelilingi oleh peminat.

“Pasti ramai yang akan menegur atau ingin mengambil gambar dengannya. Tapi abang sendiri pasti tahu akan menjaga batas-batasnya, jadi pada saya tidak ada sebarang masalah. Cuma, jika dia melebihi batas, siaplah dia!’ seloroh Dayana yang tidak menafikan mereka seperti bercinta selepas berkahwin dan ketika ini mereka masih dalam peringkat saling mengenali antara satu sama lain.

Usai majlis persandingan sebelah pihak perempuan, pasangan ini diraikan dalam satu majlis resepsi sebelah pengantin lelaki pada 24 September lalu bertempat di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC). Seindah taman raudah, begitulah konsep yang menjadi pilihan hati Ashraf dan direalisasikan sebaik mungkin oleh Mahathir atau Che Det dari Butik Nasha. Gaya klasik Arab menjadi pilihan pasangan ini. Kedua-dua tampil segak dan anggun dalam persalinan rona merah jambu menyemarakkan lagi.

Enggan Berlakon Lagi
Kesibukan mengendalikan Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah menyebabkan Ashraf tiada masa untuk menerima sebarang tawaran berlakon. Biarpun terasa rindu terhadap bidang yang pernah melonjakkan namanya sebagai seorang pelakon, namun Ashraf mengambil keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap bidang perubatan.

“Buat masa sekarang, inilah bidang yang menjadi karier utama saya. Malah, selepas ini saya dan Dayana akan sama-sama berganding bahu dalam memajukan lagi pusat perubatan ini mengikut kemahiran masing-masing.

“Soal berlakon rasanya buat masa sekarang saya berhenti dahulu kerana perlu beri tumpuan kepada Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah yang dikendalikan bersama bapa mentua saya. Kalau diikutkan saya memang mahu berlakon, tetapi kini saya sibuk dengan kerja-kerja di pusat rawatan. Insya-Allah jika ada masa yang sesuai dan ada rezeki, saya pasti takkan tolak,” ujarnya yang turut ke negeri-negeri lain untuk merawat pesakit pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Menyentuh tentang persoalan cahaya mata, buat masa sekarang keduanya belum ada perancangan dalam tempoh terdekat kerana mahu menunggu sehingga isterinya Dayana tamat belajar terlebih dahulu.

“Begitu juga dengan soal berbulan madu, memandangkan saya sibuk dengan urusan di pusat perubatan dan Dayana pula masih belajar, kami tangguhkan dahulu soal ini. Insya-Allah, perancangan kami tahun hadapan selepas Dayana tamat belajar kami mahu ke New Zealand,” ujar Ashraf tatkala ditanya destinasi berbulan madu yang menjadi pilihan mereka berdua kelak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s