TV3 perkenal juri, tenaga pengajar

SELESAI tugas membimbing ‘protege’ beliau, Salma sehingga menjadi juara Mentor 5, kini Erra Fazira menggalas pula tanggungjawab sebagai juri tetap program realiti TV baru terbitan TV3, Vokal… Bukan Sekadar Rupa yang akan menemui penonton pada 16 Oktober ini.

Menyediakan hadiah wang tunai RM50,000 untuk juara, RM30,000 (naib juara) dan RM10,000 (tempat ketiga), Vokal… Bukan Sekadar Rupa pasti mencetuskan fenomena baru yang memberikan peluang kepada mereka tiada pakej lengkap.

Tidak dinafikan, mungkin ramai yang bercita-cita menjadi artis, namun impian itu terbantut apabila menyedari kekurangan diri hanya memiliki vokal tetapi tiada pakej rupa. Oleh itu, Vokal… Bukan Sekadar Rupa yang akan dihoskan Faizal Ismail (FBI) adalah medannya.

Erra berkata, sesi uji bakat yang akan diadakan pada 24 dan 25 September serta 1 dan 2 Oktober di Sri Pentas TV3, jam 10 pagi hingga 5 petang itu memberi ruang kepada mereka yang berminat untuk mencuba nasib.

“Usah lepaskan peluang kerana Vokal… Bukan Sekadar Rupa adalah program unik kerana wajah bukanlah keutamaan. Apa yang penting bakat seni dalam diri seseorang itu. Malah, saya percaya program ini akan mencipta kejayaan tersendiri.

“Di negara ini masih ramai bakat terpendam yang hebat-hebat. Cuma mereka segan untuk menonjolkan diri kerana kurang keyakinan dengan penampilan diri. Percayalah bahawa imej boleh dibentuk. Inilah masanya kami mengalu-alukan mereka semua datang ke uji bakat itu.

“Ingat bahawa kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Oleh itu, Vokal… Bukan Sekadar Rupa adalah cabaran kepada saya sendiri untuk memilih peserta yang benar-benar berbakat,” katanya.

Menurut Erra, dia sangat berbesar hati tatkala TV3 melamarnya untuk menjadi juri Vokal… Bukan Sekadar Rupa.

“Dulu pun, ketika saya mengambil Salma sebagai protege, ramai yang mempersoalkan dia (Salma) kekurangan pakej. Namun bakat Salma dalam nyanyian akhirnya berjaya membuktikan kemampuan dirinya. Kini Salma semakin diterima peminat.

“Perihal pakej bukanlah perkara baru dalam industri hiburan tanah air. Namun saya dapati ramai artis yang berjaya kini tidak bersandar pada pakej rupa semata-mata. Bakat mereka adalah keutamaan dan peminat pun sudah bijak membuat penilaian,” katanya.

Sibuk dengan karier lakonan, Erra berkata, dia akan cuba sebaik mungkin membantu dan membimbing 10 peserta Vokal… Bukan Sekadar Rupa yang terpilih. Katanya, dia akan pastikan setiap peserta menunjukkan peningkatan terutama pada keyakinan diri.

Sementara itu, selaku Penerbit Eksekutif Vokal… Bukan Sekadar Rupa, Muhamad Sufian Che Isa berkata, cetusan idea untuk menerbitkan program itu sudah diilhamkan sejak dua tahun lalu. Ia bertitik tolak pada kejayaan diraih beberapa artis.

“Cuba kaji kejayaan Black, Adibah Noor dan Afdlin Shauki. Saya bangga kerana mereka masih mampu berjaya kerana bijak membina aura untuk menjadi artis yang terkenal.

“Program ini satu lagi percubaan untuk menilai sejauh mana permintaan pasaran tempatan terhadap penyanyi yang bagus tetapi kurang pakej diri,” katanya.

Sehubungan itu, format pemarkahan vokal untuk peserta adalah 50 peratus daripada juri profesional dan 50 peratus lagi undian SMS penonton di rumah. Setiap minggu akan ada penyingkiran bagi peserta yang mendapat markah paling rendah.

Selain Erra, seorang lagi juri terbabit adalah komposer Azmeer. Bagi membentuk kewibawaan peserta, turut disediakan tenaga pengajar seperti Faizal Uzair sebagai pengarah muzik dan penasihat vokal, Adzwa (penasihat persembahan), Prof Madya Md Izzudin atau Prof Izi (pakar motivasi) serta Simran Latif (jurulatih kecergasan).

Leave a comment